Aktiviti Kecergasan Satukan Keluarga, Eratkan Hubungan Jiran - Datuk Majang
BINTULU: Aktiviti kecergasan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah membuka ruang untuk keluarga meluangkan masa bersama serta membina hubungan lebih akrab dengan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, aktiviti seumpama itu wajar dijadikan amalan secara konsisten kerana manfaatnya turut merangkumi aspek kekeluargaan dan hubungan kejiranan.
“Program seumpama ini turut memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama menerusi aktiviti yang sihat, menyeronokkan dan bermanfaat.
“Bukan itu sahaja, hubungan kejiranan yang baik akan melahirkan masyarakat yang saling membantu dan mengambil berat terhadap kebajikan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Sihat Masjid Darul Hidayah 2026 Bersama Komuniti Qariah, di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, beliau menekankan kepentingan menjadikan masjid sebagai ruang yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi aktiviti ilmu, keagamaan dan kemasyarakatan.
Jelasnya, kerjasama pihak masjid, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan penduduk setempat diperlukan bagi memastikan program seumpama itu dapat diteruskan dengan penyertaan lebih meluas. -EDISI UKAS