Laluan Ke CIQ Sungai Tujuh Dinaik Taraf, Dua Projek Jalan Bernilai RM255.8 Juta Bermula
MIRI: Laluan dari Persimpangan Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh bakal dinaik taraf daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong menerusi Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) Seksyen Miri bernilai RM136.1 juta.
Projek sepanjang 4.95 kilometer itu merupakan satu daripada dua projek infrastruktur jalan raya bernilai keseluruhan RM255.8 juta yang memulakan pelaksanaan menerusi majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di tapak projek, di sini pada Ahad.
Turut dilaksanakan ialah Projek Menaik Taraf Jajaran ‘Redline’ Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak bernilai RM119.7 juta yang melibatkan kerja naik taraf sepanjang 17.1 kilometer di sembilan lokasi strategik.
Bagi projek LTB Seksyen Miri, skop kerja turut merangkumi pembinaan semula bulatan lalu lintas sebelum CIQ Sungai Tujuh bagi meningkatkan kapasiti laluan dan melancarkan pergerakan kenderaan ke pintu masuk sempadan Brunei Darussalam.
Menurut Dato Sri Alexander, projek itu merupakan sebahagian daripada pembangunan LTB sepanjang 93.25 kilometer yang merangkumi tiga seksyen utama, iaitu Miri, Limbang dan Lawas, bagi memperkukuh hubungan pengangkutan di utara Sarawak serta memudahkan pergerakan rentas sempadan.
Sementara itu, kerja naik taraf Redline merangkumi penambahbaikan turapan jalan menggunakan kaedah ‘milling’, ‘Cold In-Place Recycling’ (CIPR) dan turapan semula, selain menaik taraf bahu jalan, pembahagi jalan, sistem perparitan dan saliran serta pemasangan papan tanda dan garisan jalan.
Di kawasan Miri, penambahbaikan itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna laluan Tudan dan kawasan sekitarnya dari segi kelancaran perjalanan, keselamatan serta keselesaan pemanduan.
Projek LTB Seksyen Miri dijadualkan siap pada Oktober 2029 selepas tempoh pelaksanaan selama tiga tahun, manakala projek Redline mengambil masa 16 bulan dan dijadualkan siap pada 16 Januari 2028.
Kedua-dua projek itu turut melengkapi pembangunan LPB Sarawak sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri yang kini mencapai 99.98 peratus penyiapan, dengan 10 daripada 11 pakej kerja telah dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni. -EDISI UKAS