Bukit Assek Dicadang Dihubungkan Dengan SEZ Bagi Peroleh Insentif Cukai Persekutuan
SIBU: Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek dicadangkan untuk dihubungkan dengan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) bagi membolehkan projek pembaharuan bandar itu menikmati insentif cukai persekutuan, termasuk kemungkinan mendapat status bebas cukai untuk menarik lebih banyak pelaburan.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, insentif berkenaan berpotensi menjadi pemangkin kepada kemasukan pelabur tempatan, nasional dan antarabangsa dalam pembangunan semula kawasan seluas 820 ekar itu.
“Pembangunan semula Bukit Assek merupakan satu contoh yang sangat baik. Kami mahu menghubungkannya dengan Zon Ekonomi Khas Sibu, khususnya berkaitan insentif cukai atau bahkan status bebas cukai daripada kerajaan persekutuan.
“Jika kami dapat memperoleh perkara ini untuk pembangunan semula Bukit Assek, ia akan mempercepatkan kemajuan, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelabur sama ada pelabur tempatan, nasional, atau antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra kempen di Pasar Sentral Sibu, pada Ahad.
Menurut Chieng, Sarawak telah memulakan usaha mempromosikan projek pembangunan semula Bukit Assek kepada pelabur luar negara, termasuk menerusi penglibatan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dalam Sarawak Mega Fair di Singapura tahun lalu.
Katanya, usaha menghubungkan projek berkenaan dengan SEZ bertujuan memperluas peluang mendapatkan insentif cukai atau pengecualian cukai bagi pembangunan tertentu, sekali gus meningkatkan daya tarikan Bukit Assek kepada pelabur.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kertas cadangan bagi Fasa 1 projek pembangunan semula itu telah diserahkan secara rasmi kepada Pejabat Premier Sarawak dan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, projek yang dimulakan pada 2021 itu telah melalui beberapa peringkat persediaan, termasuk kerja ukur, pelantikan perunding dan penilaian teknikal yang merangkumi penyiasatan tanah serta kajian topografi dan batimetri.
Beliau berkata, pelan induk projek berkenaan telah disahkan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) pada 28 Januari, sebelum menerima kelulusan rasmi Jabatan Tanah dan Survei pada 24 Mac tahun ini.
Dua pameran awam turut diadakan bagi memberikan maklumat kepada penduduk setempat mengenai cadangan pembangunan semula berkenaan. -EDISI UKAS