Samarahan FA Julang Piala Premier Sarawak, Tewaskan Kuching FA
KUCHING: Samarahan FA muncul juara Piala Premier Sarawak selepas menewaskan Kuching FA menerusi jaringan 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya pada Ahad.
Samarahan FA membuka tirai jaringan pada minit ke-31 menerusi Mohd Zainudin Borhi sebelum Muhd Zarif Razali menambah jaringan kedua pada minit ke-88 sekali gus memastikan kemenangan pasukan berkenaan.
Kejayaan itu membolehkan Samarahan FA membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta piala dan pingat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut berkesempatan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan Samarahan FA dan Kuching FA.
Kuching FA selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM30,000 berserta piala dan pingat, manakala Bintulu FA dan Serian FA berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM10,000 serta piala dan pingat.
Pada majlis sama, turut disampaikan adalah hadiah kepada pemenang Liga Premier Sarawak Zon Selatan di mana Kuching FA muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM15,000 termasuk piala dan pingat.
Manakala, Samarahan FA meraih tempat kedua dengan RM10,000 dan Serian FA di tempat ketiga menerima RM8,000 dengan kedua-dua pasukan turut menerima piala dan pingat .
Bagi Zon Utara pula, Bintulu FA muncul juara dengan hadiah wang tunai RM15,000, diikuti Sibu FA di tempat kedua menerima RM10,000 dan Limbang FA di tempat ketiga dengan RM8,000.
Ketiga-tiga pasukan turut menerima piala dan pingat kemenangan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Asyrafiee Madzihi