TEBEDU: Empat calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Tebedu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Pengesahan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya merangkap Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai di Dewan Masyarakat Tebedu pada Sabtu.
Calon yang disahkan bertanding ialah Dr Simon Sinang @ Sinang Bada daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kembi Rigong (PBDS), Dr Anselam Diye (PBK) serta calon Bebas, Roland Bangu.
Proses penamaan calon berlangsung lancar dengan kehadiran kira-kira 1,300 orang di sekitar pusat penamaan calon.
Bagaimanapun, gangguan bekalan elektrik berlaku pada jam 8.50 pagi, menyebabkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan set janakuasa bagi memastikan sistem siar raya terus berfungsi.
Bekalan elektrik kembali pulih pada jam 9.46 pagi dan proses penamaan calon dapat diteruskan sehingga selesai.
Turut hadir, bekas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin anak Jawong dan Dato Sri Jacob Ridu.
SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak Ke-13. –EDISI UKAS