KOTA SAMARAHAN: Keunikan Kampung Sungai Pendam dari segi keluasan tanah, kehijauan alam serta potensi yang dimiliki menjadi antara keistimewaan kampung itu yang wajar dibanggakan penduduk, selain komitmen meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, Kampung Sungai Pendam merupakan antara kampung terbesar di Samarahan dari segi keluasan tanah, meskipun tidak mempunyai jumlah rumah yang banyak.
Menurut beliau, keistimewaan tersebut menjadikan kampung berkenaan mempunyai identiti tersendiri yang perlu dihargai oleh penduduk setempat.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan kerja-kerja serta projek pembangunan yang masih belum selesai sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, 12 Disember ini.
“Sekiranya diberikan rezeki selepas 12 Disember ini, saya akan meneruskan kerja-kerja yang masih belum selesai dan berusaha memastikan kesinambungan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Komuniti Sukan dan Dedikasi Kampung Sungai Pendam, di sini pada Ahad.
Program berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk kampung.
Turut hadir, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap, Buhari Abu Sapian dan Ketua Kaum Kampung Sungai Pendam, Faridah Zainuddin. -EDISI UKAS