KUTS Anjur Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
KUCHING: Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) telah menganjurkan kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Jalan Lapangan Terbang di sini pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd Mazli Mustaffa berkata, ini memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pengguna jalan raya tentang keselamatan yang perlu diambil ketika melalui jalan bagi projek yang dijalankan oleh pihak KUTS.
"Salah satu tujuan kempen ini adalah untuk memberitahu kepada masyarakat serta pihak kontraktor tentang pelaksanaan projek-projek mengikut piawaian yang ditetapkan bagi mengelakkan kemalangan mahupun kejadian yang tidak diingini," katanya ketika ditemui media.
Mengulas mengenai projek-projek KUTS yang dilaksanakan terutamanya mengenai pembinaan jalan raya untuk Transit Aliran Autonomi (ART), kemajuan projek kini masih mengikut jadual yang ditetapkan biarpun mengalami masalah kecil.
"Halangan utama sekarang memang cuaca sebab projek KUTS banyak berkenaan pembinaan yang melibatkan tanah maka cuaca yang sentiasa hujan menjadi kekangan," jelasnya.
Pada kempen tersebut, pihak KUTS bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan telah menyerahkan beg cenderamata kepada pengguna jalan raya yang dipenuhi dengan risalah mengenai projek KUTS dan keselamatan yang perlu diambil oleh pengguna jalan raya.
Sebelum itu, pihak KUTS dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan telah menjalankan sesi taklimat ringkas mengenai kempen yang dijalankan bagi memberi pengetahuan tentang kempen tersebut di samping memastikan kempen tersebut berjalan lancar.
Turut hadir, Pegawai Bertanggungjawab Untuk Sarawak Metro Sdn Bhd Awang Nasfuddin Awang Hassan dan Pengarah Projek KUTS Zafrin Zakariah. -EDISI UKAS