KUCHING: Atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) harus mencontohi semangat juara ditampilkan oleh jaguh sukan powerlifting dunia dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dengan tidak gentar mempamer bakat diri walaupun bersaing di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata atlet orang kelainan upaya (OKU) yang bertanding dalam Para SUKMA bukan sahaja untuk mendapatkan kemenangan tetapi juga melatih diri untuk meningkatkan kepercayaan diri sendiri dalam menghadapi cabaran hidup.
Katanya, atlet Para SUKMA tiada bezanya dengan atlet SUKMA di mana mereka juga boleh menyumbang kejayaan kepada negeri mahupun negara.
“Seperti atlet lain, saya percaya atlet Para SUKMA juga boleh memberi kejayaan yang besar dalam pembangunan diri sendiri.
Bonnie adalah model yang harus kita ambil contoh.
“Saya mengucap tahniah kepada Bonnie kerana telah dapat memecah rekod dunia yang mengharumkan nama negara Malaysia…bukan sahaja negara Malaysia tetapi juga negeri Sarawak dalam sukan antarabangsa.”
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Ahad.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Sebagai menghargai kejayaan Bonnie memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris baru-baru ini, Premier Sarawak mengumumkan kerajaan Sarawak akan menghadiahkan ganjaran lumayan berjumlah RM500,000 kepada atlet berusia 25 tahun itu.
“Kita harap ini akan menjadi dorongan kepada atlet-atlet muda Para SUKMA untuk berlatih dengan lebih giat supaya mendapat kejayaan di masa-masa yang akan datang.
“Kita juga telah menghantar atlet Para SUKMA ke luar negara untuk berlatih dan pembangunan ini kerajaan Sarawak akan teruskan untuk melatih mereka yang berpotensi,” tambah Datuk Patinggi Abang Zohari lagi.
Pada majlis itu, Bonnie telah diberi penghormatan untuk membawa obor kejohanan sekali gus melakukan simbolik menyalakannya menandakan bermulanya temasya Para SUKMA XXI 2024.
Untuk rekod, Para SUKMA XXI akan berlangsung dari 22 hingga 28 September dengan mempertandingkan 10 jenis sukan dan 328 acara berpusat di sekitar Bandaraya Kuching sahaja.
Hadir sama dalam majlis tersebut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan, barisan-barisan timbalan menteri serta dif-dif kenamaan yang lain. - EDISI UKAS