Pasukan ATM & Medic Hospital Muncul Juara Bola Tampar MAKSAK Daerah Bau 2024
BAU: Pasukan 10 Rejimen Sempadan & Pasukan Medic Hospital masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan kategori wanita dalam kejohanan bola tampar Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Daerah Bau.
Pasukan bola tampar lelaki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkul piala Johan selepas menewaskan pasukan BAU COPS dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Bola Tampar Srabu Segong, di sini pada Ahad.
Dalam perlawanan akhir itu, pasukan 10 RS mendominasi perlawanan dengan mengutip menang set pertama 25-17.
Set kedua menyaksikan THE COPS bangkit dengan kutipan mata apabila 10 RS tumbang 25-21.
10 RS menebus kekalahan apabila bermain dengan kemas dan berjaya mencuri satu mata untuk mencatat kemenangan 25:20.
Enggan mengaku kalah skuad THE COPS sekali lagi bangkit menewaskan 10 RS pada pusingan keempat dengan kutipan satu mata apabila keputusan 25:22.
Mata kemenangan 10 RS muncul pada set kelima setelah melakar kemenangan 15-7 sekali gus memaksa THE COPS berpuas hati sebagai Naib Johan.
Tempat ketiga dimenangi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) apabila menewaskan Majlis Daerah Bau (MDB) dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Dalam perlawanan penentuan Johan Kategori Wanita pula pasukan Medic Hospital (Hospital Bau) meraih kemenangan keatas pasukan THE COPS (Ibu Pejabat Polis Bau) apabila memperolehi dua mata pada keputusan set pertama 25:18 dan set kedua 25:17.
Tempat ketiga pula dimenangi pasukan wanita KEMAS & KESIHATAN manakala tempat keempat pasukan wanita RELA.
Majlis penutupan Kejohanan dan penyampaian Piala serta Medal kepada pemenang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Berucap pada majlis, Billy berkata perlawanan Bola Tampar MAKSAK Daerah Bau pada tahun hadapan akan dimeriahkan lagi apabila acara itu dpertandingkan secara Liga.
Bagi tujuan itu beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000.-EDISI UKAS