Projek Bina Bangunan Baharu SK Terasi, Sadong Jaya Siap
SAMARAHAN: Projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi, Sadong Jaya telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada Mei 2024.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut, memandangkan bangunan baharu yang dilengkapi dengan enam bilik darjah, bilik sains, tandas, rumah pam, serta tangki air bertingkat itu kini boleh digunakan sepenuhnya.
"Alhamdulillah, warga SK Terasi kini amat bertuah kerana telah menerima bangunan baharu yang lengkap dan sempurna meskipun proses pembinaannya memakan masa agak lama.
"Setelah ini, perhatian akan diberikan kepada sekolah-sekolah lain yang masih menunggu untuk diserahkan kepada pihak sekolah.
"Saya berharap pihak Jabatan Pendidikan Bahagian Samarahan dan pihak sekolah akan segera mengambil langkah seterusnya untuk melengkapkan prasarana bangunan baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis penyerahan projek tersebut kepada Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Awang Hepeni Awang Onget pada Selasa.
Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Sementara itu, beliau memberitahu, projek ini merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selesa dan selamat khususnya bagi pelajar di kawasan luar bandar.
Sebanyak RM3,251,078.83 telah diperuntukkan di bawah inisiatif Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak dibiayai melalui peruntukan RM1 bilion (Fasa 2) Pakej 3 bagi merealisasikan projek ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor atas kejayaan menyiapkan bangunan sekolah tersebut. – EDISI UKAS