Karnival HIP Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Sarawak
SERIAN: Karnival Program Penghayatan Tinggi (HIP) adalah salah satu usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata program ini menjadi tonggak penting dalam usaha berterusan meningkatkan standard kecekapan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Sarawak.
Beliau menekankan pentingnya bahasa Inggeris bukan sahaja dalam pendidikan tetapi juga dalam dunia pekerjaan.
“Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam sains, teknologi, dan perniagaan, menjadikannya kunci untuk membuka peluang dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan Sarawak, melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), komited untuk memastikan pelajar bersedia dalam menguasai bahasa Inggeris.
"Ini terbukti melalui inisiatif seperti Program Dwibahasa (DLP) Sarawak dan HIP yang dilaksanakan di sekolah-sekolah,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program itu di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland turut mengumumkan pelancaran Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) pada 1 Ogos yang bertujuan untuk membantu pelajar yang lemah dalam subjek teras seperti Sains, Matematik, Biologi, Kimia, Fizik dan lain-lain.
“Program ini menyediakan tuisyen tambahan untuk pelajar Tingkatan 3, 4, dan 5, dengan matlamat untuk meningkatkan prestasi SPM di Sarawak,”tambah beliau.
Dato Sri Roland juga menekankan bahawa menguasai bahasa Inggeris tidak mengurangkan kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
Sebaliknya, ia memperlihatkan kepelbagaian budaya dan keupayaan kita untuk berjaya di peringkat global tanpa melupakan akar budaya kita.-EDISI UKAS