Penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo (BIKF) Ke-17 Jadi Tumpuan Dunia
BINTULU: Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo (BIKF) ke-17 menarik perhatian global dengan penyertaan 170 peserta dari 28 negara, menjadikannya salah satu festival terbesar di rantau ini.
Sepanjang minggu festival, pelbagai aktiviti disusun termasuk lawatan ke Kampung Nyalau, perkampungan nelayan 60 kilometer dari Bintulu, diiringi perayaan tradisional ‘Makan Tahun’.
Acara malam menampilkan persembahan kebudayaan tempatan seperti tarian, lagu rakyat, dan Pertandingan Ratu Kebaya.
Konsep ‘glamping’ juga diperkenalkan, menawarkan pengalaman berkhemah mewah berhampiran padang layang-layang.
Perarakan BIKF di jalan-jalan utama Bintulu bakal disertai Pasukan Pancaragam Sekolah, Tarian Singa, serta kanak-kanak berpakaian tradisional.
Peserta digalakkan berinteraksi dengan penduduk tempatan dan mengabadikan kenangan sepanjang acara.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, menggesa peserta untuk aktif mengambil bahagian dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
“Kehadiran dan penyertaan anda adalah kunci kejayaan festival ini," katanya ketika merasmikan acara di Hotel Kemena Plaza pada Rabu.
Bertemakan ‘Unity through Flying’, festival ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antarabangsa serta mempromosikan budaya dan keindahan Bintulu. – EDISI UKAS