Kasti Dan Aina Johan Qari & Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu 2024
BINTULU: Kasti Tihi dan Aina Yazmyn Natasha Abd Aziz masing-masing dinobatkan sebagai johan Qari dan Qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu Tahun 1446H/2024M yang berlangsung di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1 pada Isnin.
Tempat kedua dirangkul oleh Abg Jasmani Abg Mazadi dan Sarinah Husnan manakala tempat ketiga milik Abg Hakimi Syarizal Abg Jasmani dan Hana Nurul Ain Kasti.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Panel hakim yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu, menilai bacaan peserta berdasarkan kriteria seperti kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan taranum.
Majlis anjuran Pejabat Residen Bahagian Bintulu dengan kerjasama JAIS merupakan manifestasi komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasakan syiar Islam di negara ini.
Ia juga bertujuan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran yang indah serta mengukuhkan rasa cinta terhadap kitab suci umat Islam ini..
Di samping itu, acara ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ajaran Al-Quran, membangkitkan semangat keagamaan dan membina komuniti yang lebih berpengetahuan serta berakhlak mulia.
Turut hadir Pegawai Agama Islam Bahagian Ustaz Dzulhazdri Japar Shedik, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Mohd Fazri Yusof, Pemancha Awang Merais Awang Ismail, Ketua Kampung Assyakirin Fasa 1 Awang Hamdan Awang Kerta serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS