KOTA KINABALU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyertai Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan ke-6 (CMLGF) pada Rabu yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-27 di sini.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan turut dihadiri oleh beberapa pemimpin serantau utama.
Antaranya Pemangku Pengerusi Perbandaran Bandar Seri Begawan Sharinah Awang Suhaimi, Pemangku Gabenor Provinsi Gorontalo, Indonesia Dr. Ir. Mohammad Rudy Salahuddin dan Pengarah Promosi Pelaburan dan Hal Ehwal Awam, Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Filipina Rodrigo Giducos.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, forum berkenaan menekankan peranan penting BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina) dalam memajukan pembangunan sosio-ekonomi dan meningkatkan kedudukan rantau ini dalam ekonomi global.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan kepentingan kerjasama strategik, khususnya dalam mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di sempadan utama seperti Tebedu-Entikong bagi meningkatkan perdagangan rentas sempadan dan mengintegrasikan rantaian bekalan antara Sarawak dan Kalimantan.
Selain itu, penglibatan aktif sektor swasta dan penekanan kepada keperluan untuk menggubal dasar kerajaan yang jelas turut ditekankan.
“Kita perlu menawarkan insentif menarik, serta memastikan proses yang telus bagi merangsang pertumbuhan serantau,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah dijadualkan menghadiri Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA ke-27 yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli. -EDISI UKAS