Sukan Main Peranan Penting Sebagai Alat Penyatuan Masyarakat
SARIKEI: Sukan merupakan alat penyatuan masyarakat yang signifikan, berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan perpaduan rakyat, sejalan dengan fokus Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata menerusi aktiviti itu, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi, bekerjasama, dan memahami antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, agama, atau status sosial.
“Ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga merupakan satu kerjaya bagi seseorang individu selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara individu dari pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Sukan Sarikei pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu berkata sukan bukan hanya penting untuk kesihatan dan perpaduan masyarakat, tetapi juga sebagai pemacu ekonomi.
Malah jelasnya industri sukan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai cara, termasuk penciptaan pekerjaan, pelaburan dalam infrastruktur, dan peningkatan perbelanjaan pelancongan.
“Apabila acara sukan besar diadakan seperti kejohanan antarabangsa atau sukan tempatan, ekonomi setempat mendapat manfaat secara langsung.
“Acara-acara ini menarik pelancong, baik tempatan mahupun luar negara yang membelanjakan wang penginapan, makanan, pengangkutan dan aktiviti rekreasi lain.
“Ini merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan pendapatan kepada perniagaan tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, lebih 5,000 warga Sarikei yang terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan umur hadir bagi memeriahkan Program Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Sarawak tersebut.
Antara sukan-sukan yang diadakan sepanjang program dijalankan ialah Larian, Memanah, Tarikh Tali, Futsal, Wushu, Sukaneka Dan pelbagai Karnival Jualan yang berlangsung di pelbagai lokasi sekitar Bandar Sarikei. -EDISI UKAS