25,000 Pelajar Sarawak Bakal Terima Berita Baik Bulan Depan
KUALA LUMPUR: Kira-kira 25,000 pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di peringkat universiti dan kolej di seluruh negara bakal menerima berita baik yang akan diumum pada bulan depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata, dua insentif itu akan diumum dalam pembentangan belanjawan negeri melibatkan baucar laptop dan duit poket untuk pelajar membeli keperluan asas setiap bulan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk memberikan insentif ini, namun ia masih dalam kajian awal kerana memerlukan belanja yang besar.
"Saya akan umumkan pada bulan hadapan dalam pembentangan bajet, yang membabitkan dalam anggaran saya seramai 25000 pelajar di seluruh Malaysia.
"20 November depan, tunggu berita baik untuk anda semua," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Townhall 'Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak' bersempena program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, syarat penerima bantuan harus anak jati Sarawak.
"Dan mesti ada kad pengenalan 'K', kalau tak ada kad pengenalan 'K', maaf, tambahnya.
Sesi yang telah dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni sebagai moderator ini juga telah menyaksikan sesi soal jawab di antara para pelajar dan Premier Sarawak.
Dalam pada itu, turut berlangsung Majlis Penyerahan Inisiatif Kerjaya Kenyalang, Majlis Penyerahan Bantuan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta Majlis Penyampaian Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (BYSST) dan Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman
(Ybstr) bagi sesi 2024/2025.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Perpaduan Negara selaku Pengerusi Lan Berambeh, Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS