Belanjawan 2025: Sarawak Rakam Terima kasih Kerajaan Persekutuan, Peruntukan Bertambah
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyambut baik peruntukan kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan susulan peningkatan peruntukan yang disalurkan kepada wilayah ini.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, meskipun peruntukan itu kurang daripada Sabah, namun masih dapat digunakan untuk membangunkan sektor-sektor yang penting di Sarawak.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menambahkan peruntukan khas daripada RM300 juta ke RM600 juta.
"Walaupun kurang daripada Sabah saya harap bahawa setidak- tidaknya kita ada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam kita membangunkan sektor-sektor yang penting di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Townhall 'Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak' bersempena program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, terdapat pertambahan dalam peruntukan pendidikan serta peruntukan RM5.9 bilion khas untuk Sarawak dan Sabah.
Untuk rekod, Belanjawan 2025 telah mencatatkan peruntukan yang terbesar dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM421 bilion. -EDISI UKAS