Premier Sarawak Kongsi Perkembangan Terkini Hala Tuju Ekonomi Di LBAS 2024
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah berkongsi mengenai perkembangan terkini hala tuju ekonomi di Bumi Kenyalang kepada rakyat Sarawak yang menyertai program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan sedang dilaksana oleh kerajaan Sarawak berteraskan kaedah-kaedah baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyatnya terutama yang berada di perantauan.
Antara yang dikongsikan adalah tentang usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras demi mencapai keterjaminan makanan, di samping memberi penekanan terhadap penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau dalam menghadapi isu perubahan iklim.
"Kita menambahkan pengeluaran padi dan beras supaya Sarawak tidak bergantung kepada beras import, kerana kita ada beras sendiri untuk anak-anak Sarawak. Walaupun pelaburannya tinggi, namun kita mempunyai dana yang cukup untuk membantu petani di luar bandar.
"Kita juga akan terus membangunkan infrastruktur seperti bekalan elektrik dan bekalan air termasuk jalan raya yang baru dari Miri ke Marudi hingga ke Long Terawan di Mulu, yang akan membuka kawasan luar bandar termasuk Lawas dan Limbang,"tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Anak Sarawak edisi ke-15 sempena LBAS 2024 bertemakan 'Memperkasa Ekonomi Baru Sarawak’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, Yang Di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan lain.
Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari juga menekankan kejayaan Sarawak dalam mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu, lalu menegaskan kepentingan memiliki kapal terbang sendiri bagi memperkukuh lagi kedudukan Sarawak dalam sektor penerbangan serta memperluas peluang ekonomi.
"Semoga tahun depan kita akan memiliki kapal terbang sendiri, yang memudahkan perjalanan dari Sarawak ke Semenanjung dengan kadar tambang yang berpatutan serta membawa pelancong ke Sarawak," tambahnya.
Akhir kata, Datuk Patinggi Abang Zohari berharap agar rakyat Sarawak terus bersatu dan bekerjasama ke arah mencapai kejayaan yang lebih besar dalam pelbagai aspek, termasuk pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.
Terdahulu dalam ucapan aluan, Menteri Perpaduan Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LBAS 2024, Dato' Sri Aaron Ago Dagang merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Sarawak Volunteers selaku penganjur utama yang bekerja keras untuk melancarkan program tersebut.
Katanya, lebih 6,000 anak Sarawak yang tinggal di Semenanjung telah hadir untuk memeriahkan lagi suasana program berkenaan, yang menunjukkan semangat perpaduan dan sokongan terhadap usaha pembangunan wilayah. -Edisi UKAS