Premier Sarawak Tiba di Singapura Untuk Lawatan Kerja Rasmi Dua Hari
SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, selamat tiba di Singapura pada Ahad sempena rangka lawatan kerja rasmi selama dua hari.
Agenda utama lawatan ini termasuk beberapa pertemuan penting seperti perbincangan mengenai pelaburan dalam tenaga hijau dan pembangunan teknologi mampan.
Pada Isnin, Premier Sarawak dijadualkan menghadiri temubual bersama Consumer News and Business Channel (CNBC) yang akan disiarkan secara langsung.
Beliau juga akan menyampaikan ucaptama dalam acara bertaraf antarabangsa iaitu Sidang Kemunculan Tenaga Singapura sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) yang bakal menghimpunkan pemimpin dan pakar tenaga dari seluruh dunia bagi membincangkan inovasi utama dalam sektor tenaga.
Seterusnya beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perniagaan Kerajaan Scotland, H.E. Richard Lochhead.
Dalam siri pertemuan seterusnya, Datuk Patinggi Abang Zohari akan bertemu Timbalan Menteri (Tenaga) Pejabat Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd. Hanifah serta mengadakan mesyuarat dengan Menteri Kanan Singapura, Teo Chee Hean dan Menteri Pendidikan, Chan Chu Sing.
Lawatan kerja ini akan diteruskan pada Selasa dengan pertemuan bersama Kumpulan Singtel untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan pengembangan infrastruktur digital di Sarawak.
Sebelum mengakhiri lawatan, beliau akan melawat SJ Campus Cleantech Loop, sebuah pusat teknologi bersih yang menjadi contoh inovasi dalam tenaga lestari dan penyelesaian hijau.-EDISI UKAS