Kerajaan Sarawak Serah Dana Penyelidikan RM5 Juta Kepada UTM
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak diwakili oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah menyerahkan dana penyelidikan sebanyak RM5 juta kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sumbangan RM5 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang berkaitan dengan ekonomi hijau, perlombongan, geospatial, Remote Sensing, Marin Kadestra, perubahan cuaca, perancangan bandar dan wilayah, pengurusan bencana, teknologi membran dan beberapa lagi sektor berkaitan dengan program kolaborasi Makmal Satelit JTS-UTM.
Kesemua kajian ini adalah khusus untuk Sarawak dan dijangka akan memberikan input yang terbaik dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
Penyerahan cek replika berjumlah RM5 juta ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi kepada Naib Canselor UTM Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail yang disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam Majlis Santapan DiRaja di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan alu-aluan, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail telah melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak atas sumbangan tersebut.
"Saya memuji pihak Kerajaan Sarawak yang sentiasa berada di hadapan dalam memanfaatkan teknologi terkini bagi pembangunan fizikal dan ekonomi yang mampan," katanya.
Majlis tersebut turut meraikan sebanyak 39 agensi penyumbang daripada kerajaan negeri, lembaga profesional, industri, persatuan alumni, institusi perbankan dan beberapa perbadanan komersial UTM yang telah menyumbang sepanjang tahun 2024 dengan sumbangan terkumpul melalui platform ini telah mencatatkan kutipan sebanyak RM 6.4 juta.
Turut hadir Pro Canselor UTM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi Lembaga UTM serta Ahli Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood. -EDISI UKAS