TOKYO: Penubuhan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) di Sarawak amat diperlukan dalam menyediakan latihan kepada sumber manusia di Pusat Intervensi Awal Satu Henti (OSEIC) atau di Pusat Pemulihan Komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pihaknya telah memohon kepada JICA untuk memperluas perkhidmatan mereka ke Sarawak memandangkan agensi tersebut tidak lagi memberi tumpuan kepada Sarawak kerana ekonomi Malaysia telah berkembang.
“Permohonan tersebut adalah sama ada untuk menubuhkan JICA di Sarawak yang memberi tumpuan kepada latihan dan bantuan dalam bentuk latihan sumber manusia dan intervensi di Pusat Intervensi Awal Satu Henti (OSEIC) atau di Pusat Pemulihan Komuniti kita,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin setelah mengetuai delegasi lawatan rasmi kementeriannya ke Tokyo, Jepun dari 14 hingga 19 Oktober lepas.
Dato Sri Fatimah menekankan bahawa lawatan ke Tokyo ini akan memperkukuh rangkaian kolaborasi dan hubungan untuk penyelidikan dan pembangunan dalam bidang Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE), intervensi untuk keperluan khas, penjagaan warga emas, pembangunan keluarga dan kesejahteraan komuniti bagi mencapai keterangkuman sosial negeri.
Dalam lawatan rasmi tersebut, delegasi melakukan lawatan rasmi ke Rumah Penjagaan Tokyo Kosaien yang terletak di Bandar Mitaka pada 18 Oktober, yang merupakan sebuah badan kebajikan sosial untuk melaksanakan perkhidmatan kebajikan bagi golongan warga emas.
Untuk makluman, Tokyo Kosaien menyediakan penjagaan yang menghargai kehidupan setiap individu dengan misi mereka adalah memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi yang penuh kasih sayang, menyokong orang untuk menjalani kehidupan dengan tenang dan memuaskan serta menghormati hasrat dan permintaan warga emas.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memberitahu Tokyo Kosaien bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak kementeriannya mengenai program untuk warga emas.
“Semasa perbincangan, badan tersebut menyatakan bahawa mereka gembira untuk memberikan bantuan dalam bentuk nasihat berdasarkan pengalaman mereka.
“Mereka juga bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian kita mengenai program untuk warga emas jika ada keperluan,” jelasnya.
Antara delegasi yang terlibat adalah Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap Kementerian Datu Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kebajikan Semawi Mohammad, Pengurus Besar SeDIDIK Sdn Bhd Ayub Dahari dan pegawai-pegawai dari kementerian. -EDISI UKAS