Kerajaan Sarawak Hulurkan Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa Bot Regata Karam
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa bot regata yang karam semasa menjalani latihan di Sungai Sarawak pada 18 Oktober lepas.
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki semasa mengetuai rombongan menziarah rumah tiga mangsa berkenaan iaitu, Allahyarham Mohamad Ikhmal Sama’ail, Allahyarham Muhammad Khairul Hisham Kasturi dan Allahyarham Mohd Afiq Isyamudin Asaari pada Rabu.
Ketibaan beliau bersama rombongan disambut oleh keluarga-keluarga mangsa sebelum meluangkan masa bersama mereka.
Selain daripada Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut menyampaikan sumbangan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM), Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak, Unit Pentadbiran serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta MAKSAK Bahagian Samarahan.
Difahamkan, sumbangan kepada dua lagi mangsa iaitu Allahyarham Majurie Maharuf dan Allahyarham Khairul Bidin akan disampaikan kemudian dalam masa terdekat.
Hadir sama Pengarah UPPSM Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengarah Unit Pentadbiran,Datu Muhammad Junaidi Mohidin, Pengarah UKPS Datu Dr Chai Khin Chung, Pengarah JKMS Semawi Mohamad, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin serta wakil agensi terlibat yang lain. -EDISI UKAS