Program 1 Murid 1 Sukan Lahir Generasi Sihat, Seimbang Akademik Dan Kokurikulum
SARIKEI: Program 1 Murid 1 Sukan inisiatif penting dalam membentuk generasi yang sihat, cergas, dan seimbang dari aspek akademik serta kokurikulum.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, sukan sangat penting sebagai medium memperkukuh kesejahteraan dan keharmonian hidup, seiring dengan keharmonian Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selain itu, beliau turut menekankan pentingnya pendidikan dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, terutamanya dalam era pendidikan digital.
Menurut beliau, para pendidik harus menguasai teknologi digital untuk menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik dan seiring dengan perubahan global.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perasmian dan Makan Malam Penutupan Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Dewan SMK St Anthony, Sarikei pada Ahad.
Pesta PSKPP yang berlangsung selama beberapa hari ini melibatkan 4,651 warga pendidik dari seluruh Sarawak yang bertanding dalam 30 acara sukan dan kebudayaan di 37 lokasi sekitar daerah Sarikei.
Dalam ucapannya juga, Dato Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei menyatakan rasa bangga atas kejayaan acara yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei dengan kerjasama pejabat pendidikan Meradong dan Julau.
Beliau berharap kehadiran kontinjen dari pelbagai daerah dapat memperkukuh hubungan dan meninggalkan kenangan indah di Sarikei.
Pada majlis tersebut, Dato Sri Huang turut menyumbang RM50,000 kepada PSKPP Cawangan Sarikei sebagai sokongan terhadap aktiviti sukan dan kebudayaan yang dianjurkan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak, Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad, serta pegawai-pegawai pendidikan daerah serta tetamu yang lain.