RUU Sumber Asli & Alam Sekitar 2024 Ketatkan Undang-Undang, Peraturan Berkaitan Pencemaran Air
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan membantu wilayah ini memperketatkan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan pencemaran air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, RUU ini perlu mengambil kira pengenalan kepada langkah-langkah yang lebih drastik untuk memantau tahap kebersihan air, memastikan sumber air yang selamat untuk kegunaan masyarakat.
Mengambil contoh syarikat atau kedai yang menjalankan penyelenggaraan kenderaan di kawasan berdekatan dengan sistem perparitan dan sungai, Miro memberitahu tidak dinafikan terdapat pekerja yang mengambil acuh tak acuh perkara ini dengan membuang minyak yang tidak digunakan ke dalam parit berdekatan.
“Jika kita melalui mana-mana kedai mekanik ini, dapat kita lihat bahawa longkang berdekatan dengan premis dipenuhi dengan minyak yang dibuang, memberi petunjuk kepada kita bahawa ia telah tercemar.
“Persoalan saya, siapa yang akan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap aktiviti ini? jelas beliau semasa mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 sempena Persidangan DUN Ke-19 pada Selasa.
Mengambil contoh lain, beliau memberitahu Sungai Serin, Padawan kini tercemar teruk ekoran aktiviti penternakan khinzir yang mana sisa dan najis daripada haiwan tersebut dibuang terus ke dalam sungai berkenaan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, pindaan semula RUU ini amat bertepatan untuk melaksanakan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat terutamanya kepada premis yang masih mengambil ringan perkara ini. -EDISI UKAS