![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bakal mewujudkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelantikan PETROS sebagai agregator gas tunggal di negeri ini akan mempercepatkan pembangunan Sarawak Gas Roadmap (SGR).
“Ini dijangka akan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.
“Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak 8 peratus setahun, yang merupakan elemen utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan dan ADUN Daro Safiee Ahmad dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dato Sri Julaihi menambah, PETROS sebagai agregator gas tunggal berperanan untuk menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
“Ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi menyumbang sumber pendapatan baharu untuk Sarawak, memastikan bekalan yang mencukupi dan harga gas asli yang berpatutan untuk pasaran di Sarawak.
“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada rakyat Sarawak serta syarikat tempatan mengambil bahagian dalam industri pengedaran gas asli dan meningkatkan kebajikan rakyat melalui hasil daripada industri minyak dan gas,” ujarnya. -EDISI UKAS