YSISS Kekalkan Dasar Pengambilan Murid Golongan B40
KUCHING: Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) terus komited dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, 55.4 peratus pelajar YSISS terdiri daripada keluarga B40, selaras dengan polisi pengambilan murid di sekolah tersebut yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pelajar dari kumpulan B40.
Malah jelasnya, ia juga seiring dengan falsafah asal penubuhan YSISS untuk menyokong pendidikan bagi golongan berpendapatan rendah.
“Polisi pengambilan murid di Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) adalah sekurang-kurangnya 50 peratus dari kumpulan B40. Buat masa kini, 55.4 peratus pelajar YSISS adalah terdiri daripada B40, 32.3 peratus M40 dan 12.3 peratus T20," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Beliau menambah, langkah ini bertujuan untuk memastikan lebih ramai anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.
Untuk memastikan kelangsungan akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, Kerajaan Sarawak katanya melalui Yayasan Sarawak telah membiayai seramai 40,856 pelajar dalam Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) di Malaysia serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
Pembiayaan ini katanya merangkumi pelbagai biasiswa dan pinjaman pelajaran, yang memberi peluang kepada pelajar Sarawak untuk melanjutkan pengajian dan mencapai kejayaan akademik.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak terus berusaha untuk menggalakkan pendidikan yang inklusif, menyediakan sokongan kepada pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan.-EDISI UKAS