LAWAS: Simposium Pendidikan Lawas 2026 (SPL2026) menjadi platform strategik untuk memperkukuh profesionalisme guru di daerah ini melalui peningkatan kefahaman isu semasa, pedagogi berimpak serta kolaborasi antara sekolah, guru dan komuniti.
Program anjuran Persatuan Anak Jati Lawas di Miri dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lawas serta sokongan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Miri itu berlangsung di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Selasa.
Simposium berkenaan menghimpunkan seramai 180 peserta terdiri daripada pengetua, guru besar, pegawai PPD Lawas, penolong kanan, guru akademik serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekali gus memperkukuh jaringan kepimpinan pendidikan di peringkat daerah.
Pengisian program memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan pendidikan berasaskan nilai, penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pembangunan profesional berterusan guru selaras dengan anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan kepimpinan sekolah berprestasi tinggi dan kualiti guru sebagai pemacu utama kecemerlangan murid.
Selain itu, perbincangan turut menekankan pelaksanaan amalan refleksi dan coaching sebagai mekanisme sokongan bagi meningkatkan kompetensi guru di samping memperkukuh penglibatan ibu bapa serta komuniti sebagai rakan strategik sekolah dalam menyokong kemenjadian murid secara holistik.
Antara ahli panel dan penceramah utama yang hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin, Pengetua Cemerlang JUSA C, Ustaz Ahmad Fauzi Yakoob, Timbalan Pengarah IPG Kampus Sarawak, Dr Tiwi Kamidin serta Prof Madya Dr Hamrila Abdul Latip dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang berkongsi kepakaran serta pengalaman praktikal dalam pembangunan profesional guru dan kepimpinan pendidikan.-EDISI UKAS