Alumni Three Rivers Edar 1,000 Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan di Mukah
MUKAH: Semangat kebersamaan dan nilai berkongsi rezeki terus disemarakkan sepanjang bulan Ramadan apabila Persatuan Alumni Three Rivers menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk di SMK Three Rivers Mukah, pada Isnin.
Program yang berlangsung sekitar jam 3.30 petang itu menyaksikan sebanyak 1,000 unit bubur lambuk diagihkan kepada warga sekolah melibatkan guru, anggota kumpulan pelaksana serta para pelajar.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang juga Penaung Persatuan Alumni Three Rivers.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan suasana Ramadan, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara alumni dengan warga sekolah serta komuniti setempat.
Pengagihan bubur lambuk itu merupakan inisiatif Persatuan Alumni Three Rivers sebagai tanda penghargaan kepada sekolah yang pernah menjadi tempat alumni menimba ilmu, di samping menyemai semangat kebersamaan melalui aktiviti kebajikan.
Program tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan persatuan alumni dalam menyumbang kembali kepada komuniti sekolah melalui pelbagai inisiatif sosial dan kemasyarakatan.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara alumni, pihak sekolah serta masyarakat setempat.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Alumni Three Rivers, Simon Joseph dan Pengetua SMK Three Rivers Mukah, Donny Dahlan.
Majlis itu turut disertai barisan exco Persatuan Alumni Three Rivers, wakil Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) cawangan Petanak serta guru-guru sekolah.- EDISI UKAS